Thursday, August 11, 2011

Surat Yang Dialamatkan Kepada SUNGAI NIL

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG
SERTA SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI




Tengah malam itu Amru al-As dikejutkan daripada tidur oleh pembantunya. "Orang ramai berkumpul di tebing Sungai Nil. Kami tidak tahu apa tujuan mereka. Kerana itu kami memaklumkannya kepada Tuan!"

"Kita ke sana sekarang!" kata Amru al-As.

Dia tertanya-tanya apakah tujuan mereka berkumpul di tebing Sungi Nil pada waktu tengah malam itu. Mungkinkah mereka hendak memberontak? Kerana itu dia mesti menyiasatnya. Apabila sampai di tempat perhimpunan itu, kedengaran suara orang ramai bersorak riang.

"Apa yang sedang berlaku? Mengapa mereka bersorak? tanya Amru al-As kepada Muiz yang berada di situ.


"Para petani mengadakan upacara korban. Mereka bersorak sebagai tanda kesyukuran kepada dewa Sungai Nil!" jawab Muiz.


"Apa yang mereka korbankan?" tanya Amru al-As lagi.


"Mereka memilih seorang gadis yang paling cantik. Kemudian dihias seperti pengantin. Menjelang tengah malam gadis itu dihumbankan ke dalam sungai sebagai tanda korban bagi dewa Sungai Nil," jawab Muiz yang sempat menyaksikan upacara itu.


"Itu adalah upacara jahiliah. Mengapa kamu tidak menghalangnya?" marah Amru al-As.


"Sekiranya dihalang pasti terjadi rusuhan. Boleh berlaku pertumpahan darah. Kerana itu kami dilaporkan perkara ini kepada tuan," jawab Muiz.

Amru al-As tidak setuju acara korban seperti itu diadakan. Keesokan harinya dia berbincang dengan ketua penduduk Sungai Nil.

"Upacara korban seperti itu kami lakukan sejak nenek moyang kami dahulu. Tujuannya bagi memberi makan kepada dewa yang menjaga Sungai Nil supaya terus memberikan kami rezeki," ketua petani itu menjelaskan.


"Seorang gadis yang cantik dilemparkan ke dalam Sungai Nil?" tanya Amru al-As lagi.


"Memang benar, tuan," jawab lelaki itu. "Setiap tahun Dewa Sungai Nil meminta seorang gadis yang cantik supaya dikorbankan. Kerana itu kami mengorbankan seorang gadis yang cantik setiap tahun sebagai memenuhi kehendak Dewa Sungai Nil," jawab lelaki itu.


"Bagaimana kamu mendapatkan gadis itu? Adakah dengan paksaaan ataupun kerelaan keluarganya?" tanya Amru al-As lebih lanjut.

"Sebenarnya tuan, setiap ibu bapa merasa gembira sekiranya anak gadis mereka terpilih dijadikan hadiah kepada Dewa Sungai Nil. Keluarga mereka dipandang tinggi oleh jiran tetangga," jawab ketua petani Sungai Nil itu.

Amru al-As tidak senang hati mendengarnya kerana upacara itu bertentangan dengan Islam. Tetapi dia tidak segera mengatakannya demi menjaga hati rakyat Mesir.


"Tahun hadapan kami menjemput tuan supaya sama-sama menyaksikan upacara korban itu. Selepas itu tuan dijamu dengan makanan dan minuman," kata ketua petani itu lagi.


"Kami datang ke Mesir atas perintah Khalifah Umar al-Khattab bagi menyebarkan Islam. Saya mesti merujuk perkara ini kepada dia terlebih dahulu. Kita sama-sama tunggu apa pandangan dia," kata Amru al-As.

Kemudian dia menulis surat kepada Khalifah Umar al-Khattab menceritakan mengenai upacara korban kepada dewa Sungai Nil itu. Ternyata Umar al-Khattab tidak bersetuju dengan upacara itu. Dia menulis surat kepada Amru al-As supaya melarang upacara itu diadakan lagi. Amru al-As mengeluarkan perintah supaya upacara korban kepada Sungai Nil dihentikan dan tidak boleh diadakan lagi. sesiapa yang ingkar perintah itu, dihukum.


Pada tahun berikutnya, penduduk Sungai Nil tidak berani mengadakan upacara itu. Tambahan pula tentera Islam berkawaal bagi memastikan upacara itu tidak diadakan. Kebetulan pada tahun itu berlaku kemarau yang panjang. Air sungai Nil mula surut. Akibatnya banyak kawasan tanah pertanian yang kering-kontang.


"Wahai tuan, Dewa Sungai Nil marah kerana tidak diberi makan. Kerana itu, air Sungai Nil semakin kering. Mereka bimbang sekiranya tidak diadakan upacara korban, air Sungai Nil menjadi kering-kontang. Akibatnya mereka kebuluran.


Amru al-As menulis surat mengadukan masalah itu kepada Khalifah Umar al-Khattab. Tidak lama kemudian surat balasan daripada Khalifah tiba. tetapi surat itu dialamatkan kepada Sungai Nil bukan kepada Amru al-As. Surat itu berbunyi,




'Daripada hamba Allah, Khalifah Umar bin al-Khattab. Surat ini ditujukan kepada Sungai Nil, di Mesir. Wahai Sungai Nil, sekiranya kamu mengalirkan air dengan kuasa kamu sendiri maka janganlah melimpahkan air. Tetapi sekiranya kamu melimpahkan air dengan izin Allah SWT Tuhan yang maha berkuasa, kami berdoa kepadaNya supaya airmu melimpah sehingga lebih daripada cukup'










Orang ramai diminta berkumpul di tepi Sungai Nil. Amru al-As membacakan surat itu di hadapan orang ramai kemudian surat itu dilemparkan ke dalam sungai. dengan izin Allah SWT, awan mendung berarak di dada langit. Tidak lama kemudian hujan turun sepanjang hari sehingga air Sungai Nil melimpah semula. Sejak itu air Sungai Nil tidak pernah kering lagi. Acara korban itu juga tidak pernah diadakan lagi.






From book: KHALIFAH-KHALIFAH YANG BENAR (ABU BAKAR, UMAR, UTHMAN, ALI)
Written by: Abdul Latip Talib
Publisher: PTS UTAMA Sdn. Bhd


Alhamdulillah..................