Monday, July 13, 2015

SYEIKH ABDUL WAHAB ROKAN AL-KHOLIDI NAQSYABANDI NUSANTARA

Segala puji hanya bagi Allah yang telah begitu banyak memberikan kerahmatan sehingga kita tidak mampu menghitungnya. 
Selawat dan salam buat Baginda Rasulullah saw beserta keluarga, sahabat dan orang-orang yang beristiqamah di atas jalan ini.

 
Tuan Guru Besilam Langkat yang pertama.

SYEIKH ABDUL WAHAB ROKAN AL-KHOLIDI NAQSYABANDI
(TUAN GURU BABUSSALAM)

Almarhum Syeikh Abdul Wahab Rokan Al-Kholidi Naqsyabandi lebih terkenal dengan sebutan "Tuan Guru Babussalam" (Besilam). Merupakan seorang wali Allah, pemimpin thariqat Naqsyabandiah, ulama terkemuka dan pahlawan nasional, tergolong sebagai Perintis Kemerdekaan agama, bangsa dan negara. Perjuangannya dengan menyebarkan ajaran-ajaran Islam ke segenap penjuru baik di dalam mahupun di luar negeri dan usaha-usahanya dalam menegakkan kemerdekaan tetap akan tercatat dalam catatan sejarah.

Syeikh Abdul Wahab adalah putera dari Abdul Manap bin M. Yasin bin Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai. Nama kecilnya Abu Qasim. Ibunya bernama Arbaiyah. Mempunyai empat saudara. Salah seorang saudara perempuannya bernama Seri Barat, digelar Hajjah Fatimah, meninggal dunia di Kampung Babussalam, Langkat pada tahun 1341 H. Kuburnya terletak di kompleks kuburan kaum Muslimin Kampung Babussalam, di sebelah makam Syeikh Abdul Wahab.

Tanggal kelahiran Syeikh Abdul Wahab, sebahagian menyatakan beliau lahir pada 19 Rabi'ul Akhir 1230 H atau pada 28 September 1811 di Kampung Danau Runda, Rantau Binuang Sakti, Negeri Tinggi, Rokan Tengah, Kabupaten Kampar, dalam Provinsi Riau.

Moyangnya Haji Abdullah Tembusai terkenal sebagai seorang alim besar dan soleh. Pandangan orang terhadapnya lebih dari pandangan orang terhadap raja-raja yang memegang kekuasaan pada masa itu. Apabila berjalan, tidak kurang dari 40 orang murid-murid mengiringinya. Berpuluh-puluh muridnya tinggal menetap dan berkhidmat di rumahnya, kehidupan mereka ditanggungnya.

Syeikh Abdul Wahab Wahab berwatakan sederhana, berparas cantik. Kulitnya putih kuning. Air mukanya bersih, cerah dan berseri, menarik hati setiap orang yang melihat. 
Apabila berjalan, sehelai selendang tetap dibahunya. Pakaiannya sering berwarna putih dan kadang-kadang hijau.
Berakhlak baik, zuhud, tekun beribadat dan taat mengerjakan perintah Tuhan dan menjauhi laranganNya.
Tidur hanya beberapa jam sehari. Tegas dan adil dalam menjalankan peraturan dan hukum. Sangat tidak mementingkan diri malah mengutamakan kepentingan umum. 
Tidak mahu berkata yang sia-sia, Pakaiannya lengkap dan sentiasa berserban. Berjalan senantiasa bertongkat. 
Makan tidak suka lauk-pauk yang banyak ragamnya. Mengutamakan sayuran.
Sangat sayang pada orang yang taat dan sangat benci pada orang yang tidak mahu mengaji (belajar).
Apabila orang menyebut 'Neraka', maka mengalirlah air matanya.
Mengajar kitab-kitab agama setiap pagi, sesudah zohor dan sesudah solat maghrib. Setiap pagi Juma'at bertadarus Qur'an selama 3 jam. 
Sesudah Isya tidur, tengah malam bangun, duduk berzikir sampai subuh.
Sangat rajin membantu yang fakir, tidak memutuskan harapan orang yang meminta dan tidak pernah menyimpan wang Rp 10 dalam sebulan. Seorang yang tidak hanyut dalam kemewahan dunia.

Left side: Penyengat Island. Right side: Bugis Village. Behind Bugis Village is Bintan (Bentan) Island, Riau Provincial. Photo was  taken by Huda Din

Semasa menuntut ilmu, beliau sangat disayangi oleh gurunya kerana rajin dan pantas membantu gurunya dalam apa jua perkara. Beliau mencuci pakaian gurunya yang kotor, malah mengambilkan timba dan kain basahan untuk gurunya apabila waktu mandi. Beliau juga menyalakan api di bawah rumah gurunya untuk tujuan menghalau nyamuk.

Abu Qasim bin Abdul Manap Tanah Putih (Syeikh Abdul Wahab Rokan) telah diberi gelaran 'Fakih Muhammad', Fakih bermaksud orang  yang alim dalam hukum feqah atau sarjana hukum Islam. Gurunya telah menukar namanya dengan gelaran Fakih Muhammad bin Abdul Manap Tanah Putih.

Meskipun pengetahuan yang dimilikinya boleh dikatakan sudah memadai untuk dirinya, namun beliau tetap merasakan masih banyak kekurangan........


AKAN BERSAMBUNG : Dalam perjalanannya belajar di Mekah......

Alhmadulillah.
Dari karangan Syekh Haji Ahmad Fuad Said Abdul Wahab, 
Pustaka Babussalam, Medan, 1998.
Buku asal adalah milik Haji Muhammad  Bin Abdul Aziz.

No comments:

Post a Comment