Friday, June 15, 2012

Sultan Muhammad Alp Arslan (1063-1072)

SULTAN KERAJAAN SELJUK 

IN THE NAME OF ALLAH THE MOST BENEFICENT, THE MOST MERCIFUL




Nama Islam beliau ialah Muhammad bin Dawud Chaghri. Gelarannya di kalangan pasukan tenteranya adalah Alp Arslan di dalam bahasa Turki yang bermaksud 'Singa Berani'. Beliau pernah dilantik sebagai gabenor Khurasan pada tahun 1059 untuk menggantikan bapanya. Alp Arslan telah dilantik bagi menggantikan pemerintahan bapa saudaranya iaitu Tughrul Beg.

Alp Arslan adalah putera Bey Chaghri atau Chaghri Beg iaitu abang sulung kepada Tughrul Beg. secara ringkasnya beliau meluaskan empayar Seljuk hingga ke Armenia dan Georgia pada 1064. Belaiu juga menyerang Empayar Byzantin pada tahun 1068 dan berjaya menawan Anatolia. Kejayaan Alp Arslan dalam Perang Manzikert melenyapkan ancaman kerajaan Byzantin.

Kejayaan penaklukan di wilayah Kristian dilakukan oleh Alp Arslan telah membangkitkan kemarahan Kaisar Romawi yang bernama Romanus Diogenes IV yang memerintah dari tahun 1068-1071. Beliau bertekad untuk melakukan serangan balas dalam usaha mempertahankan kedaulatan wilayahnya.

Pasukan tentera Kaisar beberapa kali terlibat dalam pertempuran dengan angkatan tentera Seljuk. Antara peperangan yang paling penting adalah Perang Manzikert atau Malazgird dalam Daerah Mus (Turki) pada 26 Ogos 1071.

Ibn Katsir merupakan seorang sejarahwan Islam telah menceritakan di dalam bukunya;

"Pada tahun itu, Kaisar Romawi yang bernama Romanus telah bergerak dalam satu pasukan yang besar seumpama gunung. Pasukannya terdiri dari kalangan tentera Romawi, Georgia dan Perancis. Jumlah mereka begitu ramai dengan senjata yang begitu lengkap. Dalam pasukan itu, terdapat 35 orang panglima perang. Di bawah seorang panglima, terdapat 1,000 orang penunggang kuda"

"Pasukan yang datang dari Perancis berjumlah 35,000 orang. Manakala pasukan yang berada di Konstantinopel berjumlah 15,000 orang. Turut mengiringinya ialah 100,000 orang pemain seruling dan penggali lubang. 1,000 kuda kerja, 400 gerabak pengangkut kasut dan paku dan 1,000 gerabaklain yang mengangkut senjata, lampu dan manjanik".

Alp Arslan sendiri turut merasa gentar setelah melihat pasukan Romawi yang begitu ramai. Melihat keadaan ini, sorang Ulama yang bernama Abu  Nasr, Muhammad bin Abdul Malik al-Bukhari menasihatinya agar melancarkan perang pada hari Jumaat sewaktu tergelincir matahari dengan tibanya waktu Zuhur. Ini kerana pada waktu tersebut para khatib sedang mendoakan kemenangan kaum Muslimin di serata pelusuk negara umat Islam.

Apabila tiba waktunya dan kuda pasukan saling berhadapan, Alp Arslan turun dari kudanya dan bersujud di atas tanah, berdoa agar diberi kemenangan. Antara kalimahnya yang masyhur ialah;

"Aku meletakkan jiwaku di tangan Allah. Jika aku mencapai syahadah (mati syahid) maka aku akan disambut oleh burung hijau (ke syurga) dan menjadi sisa burung nasar yang berdebu di atas kematianku. seandainya aku menang, tiada yang lebih menggembirakan aku dari waktu semalam dan hari ini adalah lebih baik daripada semalam".




Lantas beliau menyeru ke arah tenteranya;

"Kita adalah kelompok yang sedikit bilangannya, aku mahu mencampakkan diriku di tengah-tengah pasukan mereka sewaktu seluruh kaum Muslimin mendoakan kita di atas mimbar-mimbar. samada aku mencapai tujuanku atau aku akan mati syahid lalu berangkat ke syurga. Sesiapa di kalangan kamu ingin mengikutiku, maka ikutlah aku."

"Siapa yang ingin berundur, maka pilihlah untuk dirinya kerana di sini tiada lagi raja yang memberi perintah dan tidak ada tentera yang menerima perintah. Kerana aku pada hari ini adalah sebahagian daripada kamu, aku berperang bersama kamu semua. Sesiapa yang bersamaku, nescaya Allah akan kurniakan kepadanya, samada jannah atau ghanimah (syurga atau rampasan perang). Siapa yang berundur nescaya ditimpakan azab neraka dan juga kehinaan."

Para tenteranya menajawab;

"Apa sahaja yang kamu perintahkan nescaya kami akan ikuti dan kami membantumu".

Lalu beliau segera melepaskan pakaian kebesarannya dan mengambil busur, anak panah serta pedangnya untuk menuju ke medan perang. Beliau sendiri yang memesang pelana kudanya tanpa bantuan orang lain. Beliau mengenakan pakaian berwarna putih, siap masuk ke medan perang seraya berkata;

"Seandainya aku terbunuh pada hari ini, inilah kain kafanku!'.

Akhirnya perang mula meletus dengan serangan dari kedua-dua belah pihak Tentera Alp Arslan telah membunuh ramai tentera Romawi. Diceritakan, tentera Kristian Romawi yang terbunuh adalah seramai 110,000 orang manakala 40,000 orang pula ditawan, termasuklah Kaisar sendiri berjaya ditawan oleh seorang pemuda (hamba) yang berasal dari negaranya sendiri.




Alhamdullilah.....

Book: Era Kebangkitan Kerajaan Uthmaniyyah (1299M-1453M), Episod silam yang dilupakan.
Author: Mohd Fikri Che Hussain
Publisher: Hijjaz Record Publishing, 2010.

No comments:

Post a Comment