Wednesday, May 25, 2011

Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur memanggil IBN TAWUS dan IMAM MALIK

IN THE NAME OF ALLAH THE MOST BENEFICENT, THE MOST MERCIFUL



KHALIFAH ABBASIYAH ABU JAAFAR AL-MANSUR BERTEMU DENGAN IBN TAWUS DAN IMAM MALIK

Surah Al-Baqarah 2:286), bermaksud;

'Baginya apa yang dikerjakan dan ke atasnya apa yang dikerjakan'

Kisah realiti daripada firman suci ini ialah:

Khalifah Abbasiyah kedua iaitu Abu Jaafar al-Mansur memnaggil Ibn Tawus dan Imam Malik bin Anas menghadapnya. Apabila mereka berdua hadir, Abu Jaafar diam seketika sebelum mengemukakan pertanyaan kepada Ibn Tawus: "Ceritakan kepadaku tentang bapa kamu (Ibn Kaisan al-Tabi'i)". Lalu Ibn Tawus menjawab: "Bapaku telah memberitahuku bahawa Rasulullah saw bersabda: 

Maksudnya: 'Sesungguhnya manusia yang paling dahsyat menerima azab di hari kiamat ialah mereka yang dikurniakan oleh ALLAH swt kekuasaan (tetapi malangnya) mereka mencampur-adukkan kezaliman dalam keadilan.' (kitab al-'Aqdul Farid, jilid 1, m/s 16)

Mendengar jawapan yang terpacul daripada mulutnya itu, seolah-olah dunia terhenti seketika. Sehinggakan Imam Malik berkata: "Aku menyinsing bajuku kerana takut percikan darahnya." Sejurus selepas itu, Abu Jaafar memandang kepadanya: "Nasihatilah aku wahai Ibn Tawus." Ibn Tawus menasihatinya dengan membacakan Surah al-Fajr daripada ayat 6 sehingga 14:

Maksudnya: "(Kami tetap akan membinasakan orang yang menentangmu wahai Muhammad), Tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum 'Ad (yang kufur derhaka)? iaitu penduduk 'Iram' yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya (sesuai dengan penduduknya). Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil Qura- tempat tinggalnya)? Dan (terhadap) Fir'aun yang mempunyai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (semuanya itu ialah) orang yang bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan kepada mereka pelbagai paluan azab. Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas (terutama balasan akhirat)."

Abu Jaafar terdiam seketika.Lalu dia menyuruh Ibn Tawus menghulurkannya dakwat tetapi beliau diam dan tidak berbuat apa-apa. Suasana menjadi sunyi sepi. Seolah-olah angin berhenti daripada bertiup. Apabila ditanya kenapa beliau enggan menghulurkannya, maka beliau menjawab dengan hikmah:

"Aku takut dan bimbang jika engkau akan menulis perkara yang membawa maksiat kepada ALLAH swt, secara lansung aku teah bersubahat dengan kamu." 

Mendengar jawapan itu, Abu Jaafar membenarkan mereka pulang. Kepulangan Ibn Tawus ini daripada pertemuan ini dicoretkan dalam kitab Tazkirah al-Huffaz. Demikianlah tindakan Ibn Tawus yang penuh ketegasan untuk tidak mahu bersekongkol dan bersubahat melakukan kezaliman dan kejahatan. Ini adalah kerana "ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya". (Surah al-Baqarah 2:286).


From the book: WASIAT SEBELUM DIRIMU BERGELAR ULAMA
by: Mohd Solleh Abdul Razak

Alhamdulillah............

No comments:

Post a Comment