IN THE NAME OF ALLAH THE MOST BENEFICENT, THE MOST MERCIFUL
Diceritakan bahawa seorang lelaki bernama Azhar suka datang kepada Khalifah Al-Mansur walaupun tidak diundang. Kadang-kadang Al-Mansur merasa kesal juga kepadanya, apalagi kalau beliau sedang menghadapi tetamu-tetamu kehormat, tiba-tiba datang Azhar yang tiada tujuan yang mustahak. Setiap kali dia datang, Al-Mansur segera memberinya sesuatu hadiah agar cepat beredar dan diberinya peringatan agar jangan datang lagi.
Suatu ketika rumah Azhar telah rosak, sedang dia tidak punya wang untuk membaik pulihnya, lalu dia datang kepada Khalifah Al-Mansur.
"Apa hajatmu datang ke sini?" tanya Al-Mansur.
"Rumahku telah rosak, wahai Amirul Mukminin, sedang aku tidak punya wang untuk membaik pulihnya." kata Azhar.
"Baiklah, terima ini. Tapi awas, jangan datang lagi." kata Al-Mansur sambil memberikan wang secukupnya.
"Terima kasih, wahai Amirul Mukminin." kata Azhar, lalu pulang dengan gembira.
Tiada berapa lama, Azhar telah datang lagi ke istana, membuat Al-Mansur marah.
"Mengapa engkau datang lagi?" tanya Al-Mansur.
"Saya datang bukan untuk minta wang, tapi untuk menyerahkan wang." jawab Azhar.
"Ada-ada saja engkau ini." Sudah ku katakan engkau jangan datang lagi ke sini sama ada ingin menyerahkan wang atau lainnya, baliklah". Kata Al-Mansur.
Setiap kali Azhar datang, dia melihat bibir Khalifah bergerak-gerak seperti membaca sesuatu doa.
"Baiklah, kalau begitu, aku pulang." kata Azhar
Azhar tetap degil. Beberapa bulan kemudian dia telah datang lagi, membuat Khalifah bertambah marah.
"Aku sudah cakap, engkau jangan datang lagi, tapi engkau masih datang juga. Tak ada kerja lainkah?".
"Aku datang kerana hanya ingin melihat Amirul Mukminin saja. Alhamdulillah kalau selalu sihat walafiat". Kata Azhar, lalu pulang.
Tidak berapa lama kemudian, Azhar datang lagi dengan membawa pen dan kertas seperti ingin mencatat sesuatu dari Khalifah Al-Mansur.
"Engkau ini asyik datang saja, baliklah!" tengking Al-Mansur.
"Aku datang kali ini ini ingin minta ijazah daripada Amirul Mukminin." Kata Azhar.
"Ijazah apa?" tanya Al-Mansur.
"Minta ijazahkan doa yang selalu Amirul Mukminin baca setiap kali aku datang. Tolong bacakan sekali lagi aku ingin menyalinnya."
"Ha....ha....ha.....Tidak perlu disalin. Doaku ini tidak mustajab lansung." Kata Al-Mansur sambil tertawa dengan sungguh-sungguh.
"Dari mana Amirul Mukminin tahu mustajab atau tidak?". Tanya Azhar.
"Setiap kali engkau datang ke sini, aku berdoa kepada Allah memohon agar engkau tidak datang lagi. Tapi ternyata, engkau masih datang lagi. Bererti doa yang aku baca tidak mustajab, permintaanku tidak dikabulkan oleh Allah. Oleh kerana itu, engkau tidak perlu salin doaku ini."
From book: KISAH LUCU TOKOH ISLAM
Arrange by: Mohd. Amin
Alhamdulillah......
No comments:
Post a Comment