IN THE NAME OF ALLAH, THE MOST BENEFICENT, THE MOST MERCIFUL
Permintaan Nabi Idris a.s.
Kedatangan malaikat Izrail begitu dimuliakan dan disenangi. Timbul pula di hati Nabi Idris untuk meminta beberapa permintaan kepada malaikat Izrail agar dia memohonkan untuk dirinya kepada Allah.
"Wahai Izrail! Saya ingin merasai nikmat syurga. Bolehkah saya memasuki Syurga sekarang?" Tanya Nabi Idris a.s.
"Tidak boleh wahai Nabi Allah! Sebelum seseorang itu memasuki syurga, dia mestilah melalui beberapa peringkat dan ujian dengan dimulai satu kematian." Jawab malaikat Izrail.
"Wahai Izrail bolehkah aku merasai mati? Tetapi selepas itu hendaklah saya dihidupkan kembali." Pinta Nabi Idris a.s. lagi.
"Tidak boleh wahai Nabi Allah! Kematian itu hanya boleh dirasai oleh orang yang ditentukan Allah. Saya tidak boleh mencabut nyawa tanpa keizinan Allah." Jawab malaikat Izrail.
Pada ketika itu juga datang perintah Allah agar diperkenankan hajat Nabi Idris. Nabi Idris a.s. telah dimatikan dan dihidupkan kembali selepas itu. Barulah Nabi Idris menyedari betapa peritnya kematian itu.
"Wahai Nabi Allah, saya telah mencabut nyawamu begitu lembut sekali dan belum pernah saya melakukan pada sesiapa jua." Kata malaikat Izrail.
"Jika begini lembut dan halus kamu mencabut nyawa masih terasa perit dan sakit, apatah lagi dengan cara yang kasar dan ganas." jelas Nabi Idris.
"Wahai Izrail, Saya ada satu lagi permintaan." Kata Nabi Idris a.s.
"Apakah dia wahai Nabi Allah?" Jika boleh saya bantu akan saya cuba sedaya upaya." Jawab malaikat Izrail.
"Saya ingin melihat neraka. Bagaimana rasanya keadaan neraka itu?" Nabi Idris menyatakan hajatnya.
"Tidak boleh wahai Nabi Allah, orang yang pergi ke neraka mesti malalui satu kematian dan kemudian dia akan dihidupkan kembali sesudah itu untuk dikira amalannya. Jika banyak amalan kebaikan, dia akan dimasukkan ke syurga. Jika sebaliknya, maka ke nerakalah dia." Jawab malaikat Izrail kerana terperanjat dengan permintaan Nabi Idris.
"Bukankah saya telah mengalami kematian dan telah pun dihidupkan kembali? Apakah saya tidak boleh ke sana atas permintaan saya?." tanya Nabi Idris.
Malaikat Izrail semakin kebingungan. Namun begitu Allah Maha Berkuasa. Dia telah mengizinkan permintaan hamba-Nya yang disayangi.
Nabi Idris pun dibawa untuk melihat neraka. Baginda tidak memasukinya tetapi sekadar melihat di pinggir neraka. Perasaannya menjadi gementar dan ketakutan melihat azab Allah di neraka. Ketakutannya semakin menjadi lalu baginda meminta satu lagi permintaan.
"Wahai Izrail, saya ingin memasuki Syurga pula!". Rayu Nabi Idris a.s.
"Tidak boleh wahai Nabi Allah, bukan semua orang dapat memasuki syurga. Sebelum seseorang itu memasuki syurga, dia mesti memasuki neraka jika terdapat kesalahan". Jawab Malaikat Izrail.
"Bukankah saya sudah melalui semua itu? Saya telah melihat neraka dan mengetahui bagaimana seksanya neraka itu?." Terang Nabi Idris a.s.
Kebingungan malaikat Izrail semakin menjadi. bagaimana harus dia melaksanakan permintaan Nabi Idris sedangkan Nabi Idris sebenarnya belum mati. Kerisauannya semakin menebal takut dimurkai Allah.
Allah telah memerintahkan Izrail menunaikan permintaan Nabi Idris a.s. dan Nabi Idris telah dimasukkan ke dalam syurga dengan izin Allah.
Setelah dimasukkan ke dalam syurga, baginda merasa seronok dan bahagia. Baginda mengambil keputusan tidak mahu keluar lagi. Puas ditunggu oleh malaikat Izrail di luar syurga tetapi Nabi Idris tidak muncul-muncul.
"Wahai Nabi Allah, keluarlah kamu sekarang. Sudah lama kamu berada di dalam". Rayu malaikat Izrail.
"Saya tidak mahu keluar kerana sungguh aman dan bahagia berada di dalamnya". Sahut Nabi Idris a.s. dari dalam syurga.
"Wahai Nabi Allah, kamu tidak boleh masuk syurga kerana kamu belum melalui semua peringkat yang sepatutnya". Kata malaikat Izrail lagi.
"Mengapa tidak boleh?" Saya sudah merasai mati, kemudian saya telah dihidupkan kembali. Saya telah melihat seksa neraka. Akhirnya sampailah saya ke syurga setelah melalui semua peringkat. Saya tidak mahu keluar lagi." Jawab Nabi Idris a.s.
Malaikat Izrail menjadi serba salah kerana apa yang diperkatakan oleh Nabi Idris semuanya benar. tiada baginya alasan untuk membawa keluar Nabi Idris dari syurga.
Malikat Izrail telah mengadukan hal ini kepada Allah s.w.t. dan Allah telah memerintahkan Nabi Idris keluar.
"Kamu tidak dibenarkan memasuki syurga kecuali didahului seorang hamba yang amat Kusayangi." Kata Allah kepada Nabi Idris.
"Siapa itu wahai Allah?"
"Dia adalah Muhammad." Firman Allah lagi.
Keluarlah Nabi Idris dari syurga setelah diperintahkan oleh Allah s.w.t. Namun begitu, Allah itu Maha Penyayang pada semua hamba-Nya yang berbuat baik. Dia telah mengurniakan syurga yang lain dari syurga sebenar kepada Nabi Idris sebagai ganti kerana Nabi Idris tidak mahu lagi kembali ke dunia.
SEJARAH 25 RASUL: Al-Ustaz Mohammad Daud Mohammed Salleh
( Universiti Al-Azhar, Mesir)
Alhamdulillah......
No comments:
Post a Comment